Sunday, August 2, 2009

Perbezaan ISA dan Undang-undang MPKB-BRI

Pada 1 Ogos 2009, seluruh dunia menyaksikan bagaimana bandaraya Kuala Lumpur lumpuh akibat pertembungan antara pihak penguasa polis dan golongan yang menentang undang-undang ciptaan manusia, ISA. Malahan kami di Manchester juga tidak ketinggalan menyaksikan kejadian yang berlaku di Malaysia melalui laman-laman berita alternatif.

Ada golongan yg pro dan ada yg anti-ISA. Bermacam-macam alasan digunakan untuk mempertahankan pendapat atau kepentingan masing-masing. Ada yang mengatakan bahawa mematuhi arahan pemimpin itu adalah wajib di sisi Islam. Ada pula yang berpendapat undang-undang tersebut telah jauh tersasar dari pegangan orang Islam iaitu Al-Quran dan hadis. Malah ada yang memberi pendapat bahawa menahan orang bertahun-tahun lamanya tanpa dibicara adalah bercanggah dengan al-quran dan hadis. Apa pun pendapat mereka, mungkin apabila terkena batang hidung sendiri, barulah nak mengaduh.

Di Kota Bharu juga ada undang-undang ciptaan manusia walaupun tidak dinamakan ISA. Tayar kereta akan dikunci dengan begitu pantas jika diletak di tempat larangan. Buah mangga penjaja habis rosak dibaling ke dalam trak MPKB jika berniaga tanpa lesen atau mengikut undang-undang. Malahan barangan komputer pengusaha internet cafe juga di rampas kerana undang-undang manusia ciptaan MPKB yang tidak membenarkan sebarang permainan CD-Games.

Jawapan yg diberikan oleh pihak penguasa MPKB cukup mudah, "...dah itu undang-undang!". Cukup mudah, bukan? Sedangkan undang-undang tuhan juga mempunyai keuzuran bila manusia yg bermusafir dibenarkan menjamak sembahyangnya. Begitu juga dengan wanita yang ada uzurnya dalam sembahyang. Malahan DBKL juga tidak bertindak sebegitu apabila mereka lebih berakal panjang dengan memberi sedikit laluan kepada peniaga-peniaga burger, kebab atau nasi lemak di Kuala Lumpur.

Sebuah cyber cafe di Kg Kota sering menjadi sasaran MPKB apabila barangan mereka dirampas hampir setiap masa. Untuk makluman semua, MPKB melarang sebarang permainanan CD-Games di Kota Bharu. Mereka telah merampas CPU dan monitor cyber cafe tersebut tetapi tiada pula kelihatan sebarang CD games yg dirampas. Cukup aneh... apakah kaitannya antara monitor-monitor tersebut dengan kesalahan CD-Games? Mengapa mereka tidak angkut dengan meja-meja atau tandas sekali?

Modus operandi mereka cukup senang. Seorang penguatkuasa MPKB yang berpakai biasa dan berkopiah putih akan masuk ke cyber cafe tersebut sambil melihat monitor-monitor di PC. Dia kemudiannya akan memanggil penguatkuasa lain yang sedang menunggu di luar untuk merampas komputer-komputer terbabit. Cukup aneh apabila dengan sekilas pandang di paparan monitor, pakcik berkopiah tersebut boleh tahu itu adalah CD-Games. Kami juga sangsi jika penguatkuasa berkopiah tersebut dapat mendefinisikan apakah itu "CD-Games". Malah ada pelanggan yg mengadu bahawa mereka tengah menonton laman YouTube apabila komputer tersebut dirampas. Cukup kelakar bukan? Bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa tindakan tersebut hanya membawa aib kepada orang yang berkopiah apabila rakyat biasa hanya mampu mengecam pihak MPKB dari belakang. Malahan, kami juga sangsi jika MPKB dapat menang kes sebegini jika pengusaha siber cafe tersebut mengheret MPKB ke mahkamah.

Tapi itulah undang-undang manusia. Tatkala Kuala Lumpur lumpuh akibat undang-undang manusia, di Kota Bharu masih belum sampai ke tahap itu. Bagaimanapun sudah banyak suara-suara sumbang telah kedengaran yang telah sampai ke e-mail kami.

Seorang peniaga buah pernah mengadu apabila pihak MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya, merampas dan membaling buah-buah mangga mereka ke dalam trak. Stok yang bernilai ratusan dan ribuan ringgit musnah begitu sahaja. Bill Gates mungkin tidak kisah tetapi bagaimana pula dengan rakyat biasa yang mencari rezeki? Adakah menjual buah itu dari rezeki yang tidak halal semata-mata kerana tidak mengikut undang-undang MPKB? Apakah MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya tidak boleh berkompromi? Jawapan mereka cukup mudah.... "dah itu undang-undang!!!". Sungguh angkuh bukan.

Bagaimanapun ada juga pihak yang melahirkan rasa hairannya apabila sesetengah peniaga yang terlepas dari rampasan. Adakah kerana sikap kompromi penguatkuasa MPKB ataupun mereka telah mendapat 'habuan' tertentu? Atau adakah mereka telahpun mendapat maklumat sebelum operasi dibuat?

Ada peniaga di Pasir Tumboh menceritakan bagaimana pegawai penguatkuasa MPKB pernah meminta bayaran hingga ribuan ringgit dari peniaga tersebut untuk mengelak barangan mereka dari disita. Bagaimanapun, mereka gusar untuk tampil ke hadapan kerana takut perniagaan mereka akan 'dikacau' setiap hari.

Jika ini benar-benar berlaku maka tidak hairanlah jika hasil MPKB dari denda dan kompaun tidak sampai ke akaun MPKB sendiri. Yang ironiknya, ianya dicantas di tengah jalan oleh pekerja mereka sendiri. MPKB patut mengambil tindakan drastik untuk memantau penguatkuasa mereka. Tetapi bagaimana jika mereka semua itu berkomplot dari atas sampai ke bawah? Beranikah mereka untuk merombak keseluruhan MPKB? Anasir-anasir ini hanya akan menjadi kanser kepada MPKB sendiri jika tidak diambil tindak segera. Lagipun, ramai lagi orang yang betul-betul benar mahu bekerja dengan MPKB.

Jadi apakah perbezaan antara ISA dan undang-undang MPKB? Kedua-duanya adalah ciptaan manusia yang jelas tidak sesuai untuk setiap masa dan setiap keadaan. Yang pastinya, jika ia jatuh ke tangan penguasa yang salah, maka rakyatlah yang akan manjadi mangsa. Dan apabila rakyat dizalimi, maka tunggulah saat kehancurannya nanti kerana tuhan itu maha adil dan setiap perbuatan itu ada pembalasannya.


Cyber Clan
Manchester

1 comment:

Gendut said...

kopioh jah lebih set2 nih.
tapi nok wat kijo dok reti.
piiirahhhhh....