Thursday, October 1, 2009

Jemputan Melihat Pembangunan Insan di Kelantan

Datuk Nik Abdul Aziz dilapurkan menjemput Dr Mahathir menyaksikan pembangunan fizikal dan rohani di Kelantan seperti yang dilapurkan disini.

Mungkin Datuk Nik Abdul Aziz patut menjemput Dr Mahathir untuk melawat MPKB pula yang kini diberi taraf Bandar Raya Islam (BRI). Apakah Datuk Nik Abdul Aziz berani memberi jaminan bahawa kakitangan dan penguatkuasa MPKB yang mempunyai BRI dibelakangnya itu, begitu membangun dari segi rohani atau insani? Beranikah dia memberi jaminan tiada seorang pun kakitangan MPKB itu yang mengamalkan rasuah sehingga menyusahkan para peniaga dan penduduk?

MPKB lebih gemar memerangi gejala arak, gadis seksi dan mengunci kenderaan orang tetapi tiada pula kedengaran berita perang terhadap rasuah di kalangan penguatkuasa MPKB. Apakah mereka telah mencapai tahap sifar rasuah? Kami tidak fikir rakyat beranggapan begitu. Ada baiknya mereka menghantar perisik ke dalam MPKB itu untuk menyaksikan sendiri samada kakitangan Bandar Raya Islam tidak mengamalkan rasuah.

Adakah hanya dengan kopiah dan rehal di atas bangunan maka mereka layak bergelar Bandar Raya Islam? Mungkin mereka patut lebih fokus ke atas masalah kebersihan dan rasuah di kalangan penguatkuasa mereka terlebih dahulu.

Friday, September 18, 2009

Diskriminasi MPKB Ke Atas Pasaraya Kelantan

Petikan ini diambil dari HarakahDaily "Pasar raya Kelantan diarah ditutup 1 Syawal"

Antara sebab-sebab pasar raya diarah tutup ialah:-
1. Menghormati hari raya
2. Majikan tidak mematuhi janji membayar gaji 2 kali ganda
3. Kakitangan bukan islam mengadu tidak dapat bercuti pada cuti awam

Tengoklah kepada sebab-sebab di atas. Lawak sungguh bukan? Ingatkan cara sebuah bandaraya islam menghormati hari raya ialah dengan takbir dan tahmid. Tetapi kenapa hanya pasar raya yang menjadi mangsa? Kenapa semua kedai-kedai runcit, pasar awam, setesen minyak, 7-11, pasar wakaf che yeh dan lain-lain tidak pula diarah tutup? Bukankah itu satu bentuk diskriminasi.

Pasar raya terpaksa menanggung kos tetap dan kehilangan pendapatan dengan cara tersebut. Malahan pekerja yang mahu mencari duit tambahan juga menjadi mangsa kerana tindakan penguasa Kelantan dengan arahan tersebut.

Alasan majikan tidak mematuhi janji juga adalah tidak masuk akal. Kenapa pula majikan yang mematuhi janji terpaksa menjadi mangsa? Dan mengapa pula tidak diambil tindakan saja ke atas mereka yang ingkar? Di sini kita dapat melihat bagaimana undang-undang di Kelantan yang dibuat secara cincai tanpa penilitian.

Pada hari cutilah orang mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan dan bersiar-siar dan pada hari tersebut pula pasar raya diarah cuti. Bagaimana pula dengan mereka yang mencari keperluan harian.

Bukankah lebih baik jika mereka membiarkan 'rules of demand and supply' yang menentukan dan bukannya dengan alasan-alasan yang tidak profesional.

Saturday, September 12, 2009

MPKB Tidak Cekap Atasi Kesesakan Wakaf Che Yeh

Raya nak muncul lagi. Seperti biasalah... Wakaf Che Yeh akan sesak lagi. Benda ni jadi bukan baru semalam dua tapi dah bertahun tetapi pihak MPKB tak pernah nak ambil iktibar.

Aku pun tak tahu apakah peranan penguatkuasa MPKB yang meronda kat situ malam-malam. Motorsikal parking atas jalan sampai ke bank CIMB, tetapi mereka langsung buat tak endah saje. Tapi kalau kat Kota Bharu, dah lama kena angkut naik lori MPKB. Apakah itu cara penguatkuasaan sebuah bandaraya Islam?

Aku tertarik dengan sebuah cerita dari UK apabila penguatkuasa mereka menjaga trafik di kawasan masjid hingga habis sembahyang terawih walaupun penguatkuasa mereka itu hanyalah 'mat salleh'.

Jadi apakah sebenarnya fungsi penguatkuasa MPKB-BRI yang dok meronda di situ malam-malam?

Thursday, September 3, 2009

MPKB-BRI Pun Double-Standard

Kalau di bandar Kota Bharu, salah letak kereta pun kena kunci. Silap letak motosikal, kena angkut lori. Tapi di Wakaf Che Yeh, tiap-tiap malam traffic-jam tetapi MPKB tak ada buat apa pun. Ini yang buat orang ramai mushkil dengan penguatkuasa MPKB. Bukannya semalam dua, tetapi sudah bertahun-tahun.

Tiap-tiap malam laluan trafik di Wakaf Che Yeh akan sesak, apa lagi ketika nak raya begini. Di kala negeri Pakatan Rakyat tidak puashati dengan double-standard yang dilakukan kerajaan Persekutuan, apa bezanya dengan Kelantan. Kalau undang-undang trafik begini pun mereka boleh double-standard, bagaimanalah agaknya jika mereka ini diberi kuasa-kuasa lain.

Ada pengirim email mengamuk sakan memberitahu motorsikal beliau diangkut lori MPKB kerana kesalahan meletak kenderaan di bandar Kota Bharu. Tetapi mengapa Wakaf Che Yeh mendapat layanan berlainan? Tidakkah itu juga double-standard? Sedangkan kesesakan lalulintas di Wakaf Che Yeh adalah jauh lebih kronik jika dibandingkan dengan bandar Kota Bharu.

Menurut maklumat terkini, anda dapat melihat sendiri sekarang bagaimana motorsikal yang diletak di atas sepanjang jalan di hadapan kedai JukeBox hingga ke CIMB, Wakaf Che Yeh tidak pula disaman oleh penguatkuasa MPKB sedangkan ianya jelas menyebabkan kesesakan lalulintas dan kawasan tersebut bukan pula merupakan tempat meletak motorsikal. Yang anihnya, ada pula pengutip bayaran parking disitu dan pihak MPKB langsung tidak mengambil tindakan walaupun melakukan rondaan di depan mata. Menurut ceritanya, ada cerita disebalik cerita ini. Diharap pihak atasan MPKB ataupun SPRM dapat melakukan siasatan di atas sikap double-standard ini.

Apa pula kata pakcik yang diangkut motornya disini.

Tidakkah itu juga double-standard? Lu pikir lah sendiri.....

Friday, August 21, 2009

Suka Betul MPKB Mengunci Tayar Kereta

Kami begitu kerap mendapat rungutan dari orang ramai akibat tindakan MPKB mengunci kenderaan mereka kerana kesalahan meletak kenderaan di bandaraya Islam, Kota Bharu.

Wahai MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya, setiap undang-undang itu ada objektif dan tujuannya. Lampu isyarat, larangan meletak kenderaan, larangan membuang sampah dan lain-lain semuanya mempunyai tujuan untuk kebaikan masyarakat umum.

Larangan meletak kenderaan contohnya, bertujuan untuk mengelak dari berlaku kesesakan lalulintas. Tapi kami tidak dapat memahami bagaimana dengan mengunci tayar kereta itu dapat melancarkan kembali laluan trafik. Ini berbeza jika kereta tersebut ditunda dari kawasan larangan, maka dengan itu dapatlah aliran trafik bergerak lancar semula.

Bandaraya Kuala Lumpur adalah jauh lebih besar dan sesak dengan kenderaan jika dibandingkan dengan Bandaraya Islam Kota Bharu. Tetapi kami tidak pernah melihat pihak DBKL mengunci tayar kereta yang diletak di kawasan larangan terutamanya di kawasan yang penuh sesak seperti Jln Tuanku Abd Rahman, Jln Masjid India, Jln Petaling, Jln Pudu dan sebagainya. Tayar hanya akan dikunci jika kenderaan diletak di kawasan "reserved".

Inilah perbezaan antara penguatkuasa yang berakal panjang ataupun robot. Kami begitu yakin dengan jawapan yang akan diberi oleh pihak penguasa MPKB.... "Dah itu undang-undang". Ye benar, itu undang-undang, tapi adakah dengan mengunci tayar itu dapat melancarkan semula aliran trafik yang menjadi sesak akibat kereta tersebut. Dan apakah benar kereta tersebut telah menyebabkan kesesakan lalulintas? Tidakkah MPKB terfikir bahwa kesesakan tesebut disebabkan kerana kepincangan mereka di dalam membuat perancangan bandar? Jawapan di atas hanya sesuai diberi oleh robot dan bukannya manusia.

Bagaimanakah penyelesaiannya? Perlukan undang-undang tersebut dikaji semula? Atau pengubal undang-undang itu yang perlu di rombak? Bagaimanapun, dasar penguatkuasa tempatan MPKB telah pun mendapat nama di seluruh negara. Samada ianya memberi nama baik atau buruk, itu terpulanglah kepada masing-masing. Bagaimanapun, email kami telah banyak dengan maki hamun dan sumpah seranah terhadap MPKB.

Apa yang pasti, undang-undang MPKB itu bukanlah sesuai untuk semua keadaan dan masa. Malahan mereka sendiri telah mengubah laluan trafik di dalam bandar Kota Bharu. Ini hanya akan berlaku apabila mereka yang membuat undang-undang gagal di dalam membuat perancangan teliti untuk jangka masa tertentu. Adakah mereka ini sebenarnya layak? Mereka mungkin mempunyai 1,001 alasan, bagaimanapun, mereka telah gagal di dalam membuat perancangan bandar yang baik.

Cyber Clan

Sunday, August 2, 2009

Perbezaan ISA dan Undang-undang MPKB-BRI

Pada 1 Ogos 2009, seluruh dunia menyaksikan bagaimana bandaraya Kuala Lumpur lumpuh akibat pertembungan antara pihak penguasa polis dan golongan yang menentang undang-undang ciptaan manusia, ISA. Malahan kami di Manchester juga tidak ketinggalan menyaksikan kejadian yang berlaku di Malaysia melalui laman-laman berita alternatif.

Ada golongan yg pro dan ada yg anti-ISA. Bermacam-macam alasan digunakan untuk mempertahankan pendapat atau kepentingan masing-masing. Ada yang mengatakan bahawa mematuhi arahan pemimpin itu adalah wajib di sisi Islam. Ada pula yang berpendapat undang-undang tersebut telah jauh tersasar dari pegangan orang Islam iaitu Al-Quran dan hadis. Malah ada yang memberi pendapat bahawa menahan orang bertahun-tahun lamanya tanpa dibicara adalah bercanggah dengan al-quran dan hadis. Apa pun pendapat mereka, mungkin apabila terkena batang hidung sendiri, barulah nak mengaduh.

Di Kota Bharu juga ada undang-undang ciptaan manusia walaupun tidak dinamakan ISA. Tayar kereta akan dikunci dengan begitu pantas jika diletak di tempat larangan. Buah mangga penjaja habis rosak dibaling ke dalam trak MPKB jika berniaga tanpa lesen atau mengikut undang-undang. Malahan barangan komputer pengusaha internet cafe juga di rampas kerana undang-undang manusia ciptaan MPKB yang tidak membenarkan sebarang permainan CD-Games.

Jawapan yg diberikan oleh pihak penguasa MPKB cukup mudah, "...dah itu undang-undang!". Cukup mudah, bukan? Sedangkan undang-undang tuhan juga mempunyai keuzuran bila manusia yg bermusafir dibenarkan menjamak sembahyangnya. Begitu juga dengan wanita yang ada uzurnya dalam sembahyang. Malahan DBKL juga tidak bertindak sebegitu apabila mereka lebih berakal panjang dengan memberi sedikit laluan kepada peniaga-peniaga burger, kebab atau nasi lemak di Kuala Lumpur.

Sebuah cyber cafe di Kg Kota sering menjadi sasaran MPKB apabila barangan mereka dirampas hampir setiap masa. Untuk makluman semua, MPKB melarang sebarang permainanan CD-Games di Kota Bharu. Mereka telah merampas CPU dan monitor cyber cafe tersebut tetapi tiada pula kelihatan sebarang CD games yg dirampas. Cukup aneh... apakah kaitannya antara monitor-monitor tersebut dengan kesalahan CD-Games? Mengapa mereka tidak angkut dengan meja-meja atau tandas sekali?

Modus operandi mereka cukup senang. Seorang penguatkuasa MPKB yang berpakai biasa dan berkopiah putih akan masuk ke cyber cafe tersebut sambil melihat monitor-monitor di PC. Dia kemudiannya akan memanggil penguatkuasa lain yang sedang menunggu di luar untuk merampas komputer-komputer terbabit. Cukup aneh apabila dengan sekilas pandang di paparan monitor, pakcik berkopiah tersebut boleh tahu itu adalah CD-Games. Kami juga sangsi jika penguatkuasa berkopiah tersebut dapat mendefinisikan apakah itu "CD-Games". Malah ada pelanggan yg mengadu bahawa mereka tengah menonton laman YouTube apabila komputer tersebut dirampas. Cukup kelakar bukan? Bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa tindakan tersebut hanya membawa aib kepada orang yang berkopiah apabila rakyat biasa hanya mampu mengecam pihak MPKB dari belakang. Malahan, kami juga sangsi jika MPKB dapat menang kes sebegini jika pengusaha siber cafe tersebut mengheret MPKB ke mahkamah.

Tapi itulah undang-undang manusia. Tatkala Kuala Lumpur lumpuh akibat undang-undang manusia, di Kota Bharu masih belum sampai ke tahap itu. Bagaimanapun sudah banyak suara-suara sumbang telah kedengaran yang telah sampai ke e-mail kami.

Seorang peniaga buah pernah mengadu apabila pihak MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya, merampas dan membaling buah-buah mangga mereka ke dalam trak. Stok yang bernilai ratusan dan ribuan ringgit musnah begitu sahaja. Bill Gates mungkin tidak kisah tetapi bagaimana pula dengan rakyat biasa yang mencari rezeki? Adakah menjual buah itu dari rezeki yang tidak halal semata-mata kerana tidak mengikut undang-undang MPKB? Apakah MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya tidak boleh berkompromi? Jawapan mereka cukup mudah.... "dah itu undang-undang!!!". Sungguh angkuh bukan.

Bagaimanapun ada juga pihak yang melahirkan rasa hairannya apabila sesetengah peniaga yang terlepas dari rampasan. Adakah kerana sikap kompromi penguatkuasa MPKB ataupun mereka telah mendapat 'habuan' tertentu? Atau adakah mereka telahpun mendapat maklumat sebelum operasi dibuat?

Ada peniaga di Pasir Tumboh menceritakan bagaimana pegawai penguatkuasa MPKB pernah meminta bayaran hingga ribuan ringgit dari peniaga tersebut untuk mengelak barangan mereka dari disita. Bagaimanapun, mereka gusar untuk tampil ke hadapan kerana takut perniagaan mereka akan 'dikacau' setiap hari.

Jika ini benar-benar berlaku maka tidak hairanlah jika hasil MPKB dari denda dan kompaun tidak sampai ke akaun MPKB sendiri. Yang ironiknya, ianya dicantas di tengah jalan oleh pekerja mereka sendiri. MPKB patut mengambil tindakan drastik untuk memantau penguatkuasa mereka. Tetapi bagaimana jika mereka semua itu berkomplot dari atas sampai ke bawah? Beranikah mereka untuk merombak keseluruhan MPKB? Anasir-anasir ini hanya akan menjadi kanser kepada MPKB sendiri jika tidak diambil tindak segera. Lagipun, ramai lagi orang yang betul-betul benar mahu bekerja dengan MPKB.

Jadi apakah perbezaan antara ISA dan undang-undang MPKB? Kedua-duanya adalah ciptaan manusia yang jelas tidak sesuai untuk setiap masa dan setiap keadaan. Yang pastinya, jika ia jatuh ke tangan penguasa yang salah, maka rakyatlah yang akan manjadi mangsa. Dan apabila rakyat dizalimi, maka tunggulah saat kehancurannya nanti kerana tuhan itu maha adil dan setiap perbuatan itu ada pembalasannya.


Cyber Clan
Manchester

Monday, July 13, 2009

Raihan Sensatimur Dicari

Kepada penduduk dan peniaga di kawasan Pasar Borong Wakaf Che Yeh,

Kami menerima permintaan dari seseorang untuk mendapatkan maklumat individu di bawah:-
Nama : Raihan
Majikan: Sensatimur
Lokasi: Pasar Borong Wakaf Che Yeh

Dimaklumkan bahawa Raihan ini bekerja untuk Sensatimur sebagai pengutip hasil peniaga-peniaga pasar malam di Wakaf Che Yeh.

Kami tidak mengetahui tujuan maklumat tersebut, mungkin untuk jejak kasih.

Sila salurkan maklumat anda ke mkpb.bri@gmail.com

Untuk maklumat anda, kami telah melebarkan sayap operasi kami ke UK. Laman blog ini kini dikawalselia dari KL dan UK.


Dari,
Cyber Clan

Wednesday, July 8, 2009

Kesesakan Lalulintas Wakaf Che Yeh Angkara Sensatimur dan MPKB-BRI

Kesesakan lalulintas di Wakaf Che Yeh pada waktu malam mengalahkan trafik di Kuala Lumpur. Tetapi apakah puncanya? Tidak lain dan tidak bukan ini adalah angkara kedangkalan dan kecetekan pemikiran pihak pemaju bernama Sensatimur. Setelah mengambil tanah orang kampung secara paksa, pihak Sensatimur gagal membuat perancangan teliti terhadap aliran trafik di situ.

Akibatnya, banyak masa dan wang ringgit yang terbazir kerana kesesakan lalulintas pada sebelah malam di Wakaf Che Yeh. Pekerja Sensatimur pula hanya sibuk mengutip hasil dari penjual-penjual pasar malam. Anehnya pihak penguatkuasa MPKB-BRI pula hanya melihat sebelah mata. Jika di bandar Kota Bharu, anda perlu berhati-hati apabila meletak kenderaan kerana mereka cukup cekap untuk meng'clamp' tayar kereta anda. Tetapi di Wakaf Che Yeh, berlainan pula layanan mereka.

Jadi bagaimanakah penyelesaiannya? Mudah saja.... pihak pemaju yang bernama Sensatimur sepatutnya merobohkan kembali bangunan-bangunan komersil yang telah mereka bina itu dan bukannya sibuk merancang untuk merampas lagi tanah-tanah orang kampung. Selepas dirobohkan bangunan kedai-kedai itu, bolehlah mereka melebarkan jalan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas.

Diharapkan pihak kerajaan negeri Kelantan dapat mengenalpasti siapakah dalang-dalang sebenar disebalik kejadian ini yang hanya mengundang nama buruk kepada orang-orang lain.

Dari,
Cyber Clan

Monday, June 8, 2009

MPKB Anti-Games

Pihak Cyber Clan telah mendapat laporan bahawa beberapa buah pusat internet di Kota Bharu telah dirampas barangan komputer mereka kerana membenarkan pelanggan bermain games.

Tatkala pihak MSC (Multimedia Super Corridor) menghabiskan berjuta ringgit untuk mempromosikan games di bawah Creative Multimedia Cluster, pihak MPKB pula memilih untuk menghukum penggemar games dengan merampas barangan komputer pengusaha pusat internet. Mungkin agaknya MPKB hanya mahu rakyat Kota Bharu bermain congkak sampai ke tua.

Syarat cyber cafe di Kota Bharu, di bawah Perkara 2, melarang sebarang permainan CD Games. Malang sekali pihak penguasanya sendiri tidak dapat membezakan antara CD Games dan Internet Games. Akibatnya pusat internet tersebut telah dirampas barangan komputernya.

Kami mempunyai gambar yang dirakam oleh pelapor semasa rampasan tersebut. Menurut pelapor, penguasa tersebut yang tidak memakai uniform MPKB, malahan tidak pernah memberi pengenalannya sebagai pihak penguasa. Dia hanya memakai kopiah dan berlagak macam samseng. Kami mempunyai gambar muka pegawai tersebut untuk ditatap ke seluruh dunia, tetapi atas dasar 'kesian', pihak pelapor meminta agar kami menangguhnya buat sementara.

Apakah orang berkopiah memang berperangai macam itu? Menyerbu kedai orang tanpa uniform dan pengenalan? Tetapi itulah yang berlaku di bawah MPKB. Meraka inilah yang mencemar nama MPKB dan menyebabkan penduduk dan peniaga-peniaga menyumpah-nyumpah MPKB.

Dari,
Cyber Clan

Syarat-syarat Mustahil Cyber Cafe Di Kota Bharu

Kepada pelabur-pelabur dari luar yang ingin membuka pusat internet di Kota Bharu, Kelantan, kami paparkan di bawah syarat-syarat untuk membuka cyber cafe di bawah perundangan MPKB-BRI.

Secara ringkasnya, jika anda ingin membuka pusat internet di Kota Bharu, ianya adalah satu perniagaan yang merugikan kerana:-

Perkara 11 (Pengawas di Workstation) - Menurut perkara 11, seorang pengawas hendaklah disediakan di setiap workstation untuk mengawasi pelanggan supaya tidak melayari laman yang tidak dibenarkan.

Ini bermakna, jika anda mempunyai 20 buah komputer, anda perlu menyediakan 20 pengawas untuk mengawasi setiap komputer. Tidakkah itu satu undang-undang yang tidak masuk akal. Berapa pula gaji yang menti dibayar untuk mengupah 20 pengawas itu?

Perkara 2 (Permainan Video Games) - Sebarang bentuk permainan CD games adalah tidak dibenarkan.

Kami mendapat laporan bahawa pihak penguasa MPKB sendiri tidak dapat membezakan antara "CD Games" dan "Internet Games". Akibatnya cyber cafe tersebut telah disita hanya kerana kejahilan penguasa MPKB yang mempunyai BRI di belakangnya.

Kepada mana-mana pelabur yang ingin membuka pusat internet di Kota Bharu diminta agar befikir 10 kali sebelum meleburkan duit anda di Kota Bharu. Hasil anda mungkin dihabiskan untuk membayar saman kepada MPKB.

Dari,
Cyber Clan


Sunday, June 7, 2009

Gempur MPKB

Kepada penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga di kawasan Wakaf Che Yeh yang tidak berpuas hati dengan sebarang tindakan tidak adil, kejam, zalim dan tidak bertimbangrasa oleh pihak MPKB, sila laporkan kes anda ke mpkb.bri@gmail.com

Alamat email itu dikendalikan oleh pasukan Cyber Clan yang beroperasi di Kuala Lumpur. Lebih afdal jika disertakan gambar-gambar atau klip video yang boleh diambil dengan menggunakan kamera handphone.

Kami di Cyber Clan akan memaparkan aktiviti-aktiviti MPKB termasuklah kegiatan merampas barangan niaga peniaga-peniaga di Wakaf Che Yeh. Lebih bagus kalau anda dapat memberi gambar muka pegawai-pegawai MPKB yang bertindak zalim dan tidak bertimbangrasa terhadap peniaga-peniaga Wakaf Che Yeh atau di Kota Bharu.

Biar satu dunia tahu adakah MPKB itu layak diberi taraf BRI di penghujungnya. Nama dan maklumat pengadu adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

Dari,
Cyber Clan

Sunday, May 24, 2009

Sensatimur... pemaju atau lintah darat?

Pada tahun 2008, Wakaf Che Yeh pernah bergolak seketika apabila peniaga-peniaga kecil dipaksa membayar sebanyak RM2,000 kepada syarikat pemaju bernama SENSATIMUR untuk tapak berniaga seluas sekangkang kera. Malahan mereka diberi notis 24 jam untuk membuat bayaran tersebut.

Bagaimana la agaknya makcik yang menjual kerepok lekor RM1 mampu membayar sebanyak RM2,000 untuk tapak berniaga dalam tempoh 24 jam. Malahan payung yang dibekalkan pula hanya sebesar 'lidi' yang langsung tak berfungsi apabila hujan atau angin kencang. Dah la nak pasang dan tutup payung saja perlukan masa berjam-jam. Banyak masa dan produktiviti terbuang hanya kerana payung yang dibekalkan oleh SENSATIMUR.

Syarikat seperti SENSATIMUR ini langsung tidak mempunyai tanggungjawap sosial atau 'social contribution' terhadap peniaga-peniaga kecil. Siapakah lintah darat ini? Cyber Clan WCY akan mendedahkannya kepada seluruh dunia nanti.

Dan persoalan besarnya, bagaimanakah pemaju seperti SENSATIMUR ini boleh dilantik? Adakah melalui sebarang 'open tender' atau mereka ini dipilih kerana orang-orang tertentu? Adakah pihak kerajaan Kelantan benar-benar 'transparent' atau telus di dalam pemberian projek-projek pembangunan kepada pemaju?

Bagaimanakah Projek Pasar Borong Bersepadu WCY yang dikatakan bernilai RM60 JUTA boleh diberikan kepada pemaju bernama SENSATIMUR yang langsung tidak mempunyai sebarang laman web sehingga ke tarikh hari ini? Pekedai tepi jalan pun mampu memilik laman web tetapi pemaju yang melaksanakan projek berpuluh-puluh juta Ringgit tidak mampu?

Nampaknya sejarah bakal berulang pada tahun ini. Tapi kali ini penduduk Wakaf Che Yeh akan mendapat bantuan dan sokongan penuh dari Cyber Clan.


Nantikan....
Cyber Clan WCY

Cyber Clan Wakaf Che Yeh

Kami adalah pasukan Cyber Clan yang telah menerima permohonan bantuan dari penduduk Wakaf Che Yeh, Kelantan. Kami terdiri dari blogger-blogger dan pencipta animasi GomoMan yang kebanyakannya beroperasi dari Kuala Lumpur.

Kami dimaklumkan tanah-tanah kediaman penduduk Wakaf Che Yeh yang telah dihuni sejak zaman berzaman akan diambil secara paksa oleh pihak-pihak tertentu.

Walaupun kami beroperasi dari luar Kelantan, kami akan tetap membantu penduduk-penduduk kampung seperti mereka. Buat masa sekarang kami dalam proses mengumpul maklumat-maklumat untuk diledakkan ke dalam dunia siber.

Seluruh dunia bakal mengetahui siapakah dalang di sebalik kejadian-kejadian ini. Siapakah yang bakal mendapat keuntungan besar di sebalik kesusahan rakyat terbabit.

Kepada dalang-dalang yang berselindung disebalik 'tiket' kemajuan, inilah pesanan kami:-
"If you mess up with the people, it's like you mess up with us.
If you mess up with us.... be prepared for cyber war".

Mulai dari malam ini, kami akan mengambil alih laman blog ini sebagai saluran rasmi.

Cyber Clan

Saturday, May 23, 2009

Bantuan Luar Pasukan Cyber

Baru-baru ini kami telah cuba untuk mendapat bantuan dari Kuala Lumpur, terutamanya dari pasukan-pasukan blogger yang bergiat aktif di medan siber untuk membantu penduduk Wakaf Che Yeh.

Mereka telah menyatakan kesediaan mereka untuk menghulurkan bantuan terutamanya dari sudut teknologi siber dan blogging.

Malahan kami juga telah meminta bantuan dari pasukan animasi yang telah mencipta siri GomoMan yang telah mendapat tempat di laman YouTube.

Sukacita dimaklumkan bahawa mereka begitu teruja untuk membantu penduduk Wakaf Che Yeh di dalam menghadapi situasi terkini. Buat masa kini, mereka di dalam proses untuk mengumpul maklumat dan akan bersedia bila-bila masa untuk melancarkan perang siber terhadap mana-mana badan, terutamanya pihak Pemaju yang cuba merampas tanah milik penduduk Wakaf Che Yeh.

Laman blog ini akan menjadi saluran rasmi dan akan dikemaskini secara bersama oleh pasukan siber dan animasi dari Kuala Lumpur.

-Salam

Thursday, May 21, 2009

Perbincangan Dengan Penduduk Wakaf Che Yeh

Sehingga ke hari ini pada tarikh 21 Mei 2009, penduduk Wakaf Che Yeh masih lagi belum menerima sebarang surat rasmi tentang pengambilan tanah-tanah mereka.

Malahan penduduk-penduduk terlibat masih belum dipanggil untuk sebarang perbincangan.

Kita nantikan bilakah notis tersebut akan diberi.
Kita nantikan berapa lamakah mereka akan diberi masa untuk mencari tempat kediaman baru.

Kami difahamkan ada antara penduduk terlibat telah menghuni tempat tersebut selama 3-4 keturunan lamanya.

Kami akan memberi laporan dari semasa ke semasa.

Wednesday, May 20, 2009

Kemajuan atau Penindasan Rakyat Wakaf Che Yeh?

Seringkali kita mendengar kerajaan-kerajaan Negeri yang mengambil tanah rakyat secara paksa dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Kini, suara-suara ketidakpuasan telah kedengaran di negeri Kelantan yang selama ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Kali ini ianya bakal berlaku di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Adakah ianya untuk pembangunan masyarakat umum? Atau adakah kerana desakan pihak Pemaju yang bakal membolot kekayaan berlipat kali ganda dalam sekelip mata? Adakah pemilihan pihak Pemaju ini dilakukan secara telus dan terbuka seperti yang dicanangkan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat? Kita akan saksikan nanti.

Laman blog ini akan menyampaikan berita-berita terus dari Wakaf Che Yeh.